Wednesday, April 11, 2012

Liku Kehidupan Syeikh Yusri 3

Pertama Kali Terlibat Dengan Pelajar Malaysia

Terdapat suatu masa dimana pelajar universiti Kasrul Aini mengadakan haflah Isra' Mikraj. Panel jemputan yang dijemput adalah Syeikh Najib Muti'i. Beliau menghadiri haflah tersebut dan serta merta tertarik dengan kehebatan Syeikh Najib Muti'i dari segi percakapan, perkataan dan ilmunya. Beliau pun bercadang untuk berguru dengan Syeikh Najib Muti'i. Beliau mencari tempat pengajian yang diajar olehnya lalu mendapat tahu bahawa Syeikh Najib Muti'i mengajar di Asrama Melayu Abbasiyah, ARMA( sekarang ditukar Dewan Malaysia Abbasiyah, DMAK). Itulah pertama kali beliau bergaul bersama pelajar Malaysia walaupun di unversiti juga terdapat pelajar Malaysia.

Sejak hari itu, beliau mula menghadiri kelas pengajian Syeikh Najib Muti'i dengan menumpang kereta seorang syeikh bernama Syeikh Abdul Hakim Abdul Salam. Beliau turut mengambil peluang untuk mengulang hafalan beliau dengan Syeikh Abdul Hakim sepanjang perjalanan. Beliau turut memasang cita-cita mengambil tarikat dari Syeikh Najib Muti'i, namun begitu Syeikh Najib Muti'i tidak memegang pada mana-mana tarikat.

Bergelar Suami

Pada tahun 1980, ayah beliau menyuruh beliau barkahwin. Pada awalnya beliau menolak atas sebab tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menyara isteri. Namun begitu ayahnya berkeras dan bersedia untuk menanggung kewangan beliau dan isterinya. Ayah beliau meminang seorang gadis graduan Al-Azhar kerana ayahnya faham bahawa anaknya cenderung dalam bidang agama. Gadis tersebut bernama Zainab.

Mimpi Bertemu Rasulullah

Setelah 5 tahun, baharulah beliau tamat mengahafal al-Quran di bawah bimbingan Syeikh Abdul Hakim. Pada suatu hari Syeikh Abdul Hakim menceritakan bahawa gurunya, Syeikh Ala' iaitu seorang yang buta bermimpi. Syeikh Ala' bermimpi berada di kawasan maqam saidina Husin dan mendapati Rasulullah saw berada di situ. Lalu Syeikh Ala' pun meminta syafaat Rasulullah. Namun Rasulullah cuma berdiam diri walaupun sudah diminta beulang kali. Tiba-tiba masuk seorang lelaki ke dalam kawasan itu. Lalu Rasulullah manyuruh Syeikh Ala' meminta syafaat dari lelaki tersebut. Namanya ialah Abdullah Siddiq Ghumari.

Syeikh Abdul Hakim bertanya kan beliau samada mengenali Abdullah Siddiq Ghumari ataupun tidak. Beliau menafikan dan memberi cadangan supaya mereka bertanya di ARMA. Pada suatu hari, Syeikh Najib Muti'i terlewat datanag lalu beliau mengambil peluang untuk bertanya kepada hadirin samada ada yang mengenali Abdullah Siddiq Ghumari. Seorang lelaki bangun dan mengatakan bahawa Abdullah Siddiq Ghumari merupakan seorang ulama yang selalu berziarah ke Mesir untuk mengajar kitab Syamail Muhammadiyah di Masjid Rushdi, Dokki setiap tahun di bulan Ramadan. Kelasnya akan diadakan selepas solat asar.

Beliau pun pergi bersolat asar di masjid Rushdi pada bulan Ramadan dan mengikuti kelas Syeikh Abdullah Siddiq Ghumari. Di situ juga beliau pertama kali bertemu dengan Syeikh Ali Juma'h(mufti mesir sekarang). Pada ketika itu Syeikh Ali Juma'h masih muda. Beliau mengkhatamkan kitab Syamail Muhammadiyah dalam bulan Ramadan itu. Selalunya Syeikh Abdul Hakim yang membawa Syeikh Abdullah Siddiq Ghumari pulang. Tetapi suatu hari Syeikh Abdul Hakim tidak hadir lalu beliau menggantikan tempat beliau menghantar Syeikh Abdullah Siddiq Ghumari pulang. Bermula dari itu, beliau pula yang membawa Syeikh Abdullah ke mana sahaja.

Kebaikan yang Tidak Dilupakan

Pada suatu ketika, beliau pergi mengerjakan umrah. Lalu beliau mencukur kepalanya dan membiarkan janggutnya tumbuh panjang(seakan-akan wahabi). Beliau pergi ke suatu tempat dan tersilap meletakkan kereta di tempat yang dilarang. Lalu polis yang menjaga kawasan tersebut ingin menyaman beliau. Meliahatkan keadaan beliau yang botak dan berjanggut besar menyebabkan polis tersebut memberi nama beliau terus kepada Amru Daulah(ketua polis). Beliau diminta untuk bertemu dengan Amru Daulah.

Dalam perjalanan, beliau berasa sangat cemas dan terpacul keluar dari mulutnya sepotong ayat dari surah al-A'raf:

رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ…

Padahal beliau tidak pernah dan tidak pernah terfikir untuk membaca ayat tersebut sebagai doa. Apabila memasuki pejabat tersebut, beliau mendapati bahawa pegawai tersebut adalah kenalannya yang bernama Hisham.

Hisham mempunyai seorang adik yang bernama Faisal. Dahulunya Faisal merupakan seorang yang bermasalah dalam pelajaran dan sudah gagal dalam peperiksaan sebanyak 4 tahun berturut-turut. Lalu Hisham meminta tolong beliau untuk mengajar adiknya kerana melihat beliau merupakan seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Akhirnya Faisal Berjaya lulus dalam peperiksaan pada tahun tersebut. Hisham dan ibunya amat berterima kasih terhadap beliau.

Beliau menyapa Hisham dan memperkanalkan diri. Hisham seakan-akan tidak percaya lalu tersenyum dan memeluk beliau. Mereka berbual dan Hisham pun memberi nasihat kepada beliau untuk tidak berkecimpung dalam bidang agama dan fokus dalam bidang perubatan.

Ayat yang Tidak Tersangka

Seperti biasa, beliau akan membawa Syeikh Abdullah Siddiq ke mana-mana sahaja dan kebetulan hari itu mereka pergi ke pusat percetakan. Terdapat sebuah buku baru karangan Syeikh Abdullah Siddiq. Merujuk pada buku itu, baharulah beliau mengetahui bahawa Syeikh Abdullah Siddiq memegang sebuah tarikat iaitu tarikat Siddiqiyah. Apabila beliau membuka buku tersebut, beliau terkejut seribu bahasa kerana buku itu dimulakan dengan doa:

رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ…

Berikutan itu, beliau merasakan bahawa inilah jalan yang telah ditunjukkan Allah kepadanya. Beliau mengambil baiah dalam tarikat Siddiqiyah pada bulan Syawal.

"Kekalkan Apa yang Ada Pada Kamu"

Pada ketika Syeikh Abdullah Siddiq Ghumari ingin berabgkat pulang ke Tanjah, Maghribi, belaiu berasa amat berat hati untuk meninggalkan Syeikh Abdullah Siddiq Ghumari. Beliau menyatakan hasrat beliau untuk mengikut Syeikh Abdullah Siddiq ke Maghribi. Namun begitu, Syeikh Abdullah Siddiq menasihati beliau," Kekalkan apa yang Allah beri kepada kamu, moga Allah akan buka jalan kepada kamu". Beliau bertanya kepada siapakah akan beliau rujuk selepas pemergian syeikh? Lalu Syeikh Abdullah Siddiq Ghumari menasihati beliau supaya merujuk kepada Syeikh Ali Jum'ah.

Selepas itu, beliau kerap bertemu dengan Syeikh Ali Jum'ah dan bermunaqashah bersama-sama. Dengan itu juga beliau bertemu ramai ulama-ulama seperti Syeikh Ahmad Mursi dan lain-lain. Pada tahun 1990,Universiti Al-Azhar mula membuka peluang kepada orang umum umtuk memasuki kuliah syariah. Beliau melanjutkan pelajaran dalam kuliah syariah dalam mazhab Syafie.


 

Alhamdulillah, itu sahaja perkongsian kisah hidup Syeikh Yusri yang mampu saya nukilkan di sini. Supaya kita dapat mengambil pengajaran dari kisah seorang ulama tersohor ini. Sebarang cacat cela harap dapat dimaklumkan.

Syukran Jazilan

0 comments:

Post a Comment