Saturday, October 20, 2012

Kisah Budak Kampung Bermain Bola


memandangkan cae yang sedang kerinduan, ana nak bkongsi satu kisah...

Bismillah

Dulu, ada sekumpulan budak-budak lelaki. Mereka menetap di sebuah kampung bernama Kampung Mush Arif. Mereka berperangai seperti budak yang biasa, bergaul seperti budak yang biasa, makan macam budak yang biasa. Nak cakap memang hidupnya biasa-biasa sahaja.

Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba suatu hari penghulu kampung mengadakan satu pertandingan bola sepak dan semua budak di kampung itu wajib sertai. Hadiah yang ditawarkan agak lumayan iaitu pakej haji dan umrah sekeluarga setiap ahli pasukan.

Berita ini mengejutkan semua budak-budak di kampung itu termasuk sekumpulan budak-budak tadi. Maka riuhlah Kampung Mush Arif. Pelbagai persediaan dilakukan bagi menyambut hari pertandingan itu. Tetapi tidak bagi sekumpulan budak-budak tadi. Ada di antara mereka yang suka bola sepak tetapi ramai diantara mereka yang berkaki bangku. Ikat tali kasut sukan pun tak pandai.


Lalu mereka pun berbincang sesama mereka. Yang suka bermain bola sepak agak bersemangat untuk menyertai pertandingan tersebut. Namun begitu yang berkaki perabot sangat berat hati untuk menyertai.
Setelah melalui perbincangan yang agak payah. mereka pun bersetuju untuk menyertai pertandingan tersebut kerana ianya wajib dan untuk meraikan ahli kumpulan yang berminat. Namun dengan syarat, mereka bukan bermain untuk menang. Mereka menamakan pasukan mereka Nuwa’atta.

Pada hari pertama pertandingan, mereka digandingkan dengan satu pasukan yang agak mantap digelar Rigelah. Permainan paasukan Nuwa’atta agak pincang. Mereka asyik diasak oleh pihak musuh. Pertahanan mereka selalu dibolosi. Tidak sampai separuh masa pertama, sudah ada yang pengsan kepenatan. Pada separuh masa kedua mereka terpaksa meminta datuk penghulu menggantikan tempat ahli kumpulan mereka.

Mujurlah dengan penjaga gol yang agak cekap dan nasib yang menyebelahi mereka, keputusan hari itu seri. Mereka yang pengsan dibawa ke bilik sakit. Ada yang mengambil masa tiga hari untuk betul-betul sembuh.
Esoknya kumpulan Nuwa’at akan menentang kumpulan Hutub. Kumpulan Hutub memang sangat terkenal dengan kepakaran bermain bola sepak. Kebanyakan dari ahli kumpulan Hutub merupakan anak pemain bola yang terkenal seperti Wan Ahmad Messi, Muhammad Ronaldo dan Torres al-Selanjuri.


Pasukan Nuwa’atta semakin gentar. Ada dalam kalangan mereka yang hilang semangat. Malah ada yang ingin menarik diri. Keadaan menjadi tegang. Namun begitu perlawanan esok bukan mudah untuk dibatalkan. Pasukan yang ingin menarik diri haruslah mengumumkan dua hari awal. Lalu mereka memujuk sesama sendiri. Kali ini mereka membina strategi untuk meningkatkan pertahanan di pintu gol.

Esoknya, perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan itu saling bersalaman. Jelas kelihatan pasukan Hutub menandingi pasukan Nuwa’at dari segi fizikal mahupun keyakinan. 

Wisel ditiupkan. Pasukan Nuwa’at diasak dengan ganas oleh pasukan Hutub. Namun apabila sampai ke pintu gol, bola berjaya dilantunkan semula kearah pihak lawan. Nampaknya strategi pasukan Nuwa’atta berkesan! 

Sebenarnya strateginya adalah setiap ahli pasukan hendaklah mempunyai pasangan. Setiap kali pihak lawan membawa bola, salah seorang dari pasangan akan mendepani lawan tersebut.  Manakala seorang lagi berjaga di belakangnya. Tugas orang di hadapan adalah mendapatkan bola. Namun jika tidak berjaya dia mampu melarikan fokus pihak lawan tersebut.

Apabila pihak lawan sudah hilang fokus, maka seorang lagi terus masuk merampas bola. Ada pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘Pertahanan yang terbaik merupakan serangan yang terbaik’. Pada mulanya strategi ini digunakan hanya untuk bertahan, namun semakin lama mereka semakin mara ke pintu gol pihak lawan. Lalu bola dirembat ke gawang gol pihak lawan. Penonton yang terdiri dari penduduk kampung terdiam melihat pemandangan yang mendebarkan itu.

Penjaga gol berjaya menepis bola tersebut. Pihak lawan menghembus nafas lega. Namun kedengaran sorakan yang amat kuat dari penonton di luar padang. Pemandangan pasukan Hutub yang digelar pasukan legenda itu diasak merupakan suasana yang amat luarbiasa. Nampaknya pasukan Nuwa’atta telah berjaya meraih kepercayaan dari penonton. Paluan kompang bingit memenuhi kawasan lapang itu. Bendera pasukan Nuwa’atta dikibarkan.


Sekumpulan budak-budak biasa yang menggelar diri mereka Nuwa’atta tersenyum melihat penonton yang bersorak. Ada yang berasa terharu sehingga mengalirkan air mata. Kemudian mereka memandang sesama sendiri. Kelihatan api semangat yang selama ini malap kini menyala dengan terang dalam mata-mata mereka. Mereka mengangguk sesama sendiri dan beralih ke pihak lawan dengan semangat yang baru. Semangat Nuwa’atta. Semangat At-Ta’awun.

Perlawanan itu diteruskan. Pihak lawan membawa bola. Lantas dirampas pasukan Nuwa’atta. Dirembat ke pintu gol. Penonton terdiam sambil menahan nafas. Bola ditepis. Penonton kembali bersorak dengan kuat. Perlawanan diteruskan lagi sehingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan hari itu diakhiri dengan satu berbalas kosong. Pasukan Hutub mendahului pasukan Nuwa’atta dengan satu skor. Penduduk kampung bersurai dengan senyuman yang puas. Perlawanan itu akan menjadi buah mulut penduduk kampung selama setahun.

Bagi pasukan Nuwa’atta, perlawanan itu akan terus terpahat dalam memori mereka. Kekalahan itu tidak menyedihkan mereka langsung kerana mereka telah mendapat sesuatu yang lebih besar. Itulah semangat At-Ta’awun. Semangat yang menjadi asas kepada persaudaraan dalam Islam. Semangat yang disemai oleh Nabi Allah Muhammad dalam sanubari kaum Muhajirin dan Ansar. Semangat yang membina negara islam pertama Madinah al-Munawwarah. Semangat inilah yang akan mereka semai dalam diri mereka dan generasi akan datang, InsyaAllah.

Alhamdulillah