Tuesday, April 10, 2012

Liku Kehidupan Syeikh Yusri 2

Terlibat dengan Sufi

Tidak lama kemudian, beliau bertemu dengan seorang ahli beit yang bernama DrAbdul Hadi(sekarang merupakan seorang ophthalmologist). Dr Abdul Hadi merupakan seorang hafiz al-Quran. Maka beliau pun mengambil peluang untuk mengulang hafalan beliau dengan Syeikh Abdul Hadi. Dr Abdul Hadi menetap di kawasan Dumyat(timur laut mesir) bersama ayahnya Syeikh Mansur. Pada suatu ketika beliau datang menziarah keduanya, beliau terkejut dengan reaksi Syeikh Mansur yang tiba-tiba menangis apabila disebut,"Telah berkata Rasulullah..". Beliau bertanyakan hal tersebut kepada Dr Abdul Hadi. Rupa-rupanya Syeikh Mansur merupakan seorang sufi dari tarikat Tijaniyah.

Dalam pada masa yang sama, pelajar universiti yang berfikrah wahabi turut membenci ahli sufi. Perkara ini berleluasa sehingga Dr Abdul Hadi sendiri pun malu akan ayahnya yang merupakan seorang sufi. Beliau terganggu dengan fikrah ini dan mencadangkan mereka bertemu dengan guru kepada ayah Dr Abdul Hadi untuk mencari kebenaran. Guru Syeikh Mansur iaitu Syeikh Hafiz Tijani yang merupakan seorang yang tinggi dalam tarikat Tijani.

Pada tahun 1977 mereka pergi bertemu Syeikh Hafiz Tijani pada hari Khamis malam Jumaat. Syeikh Hafiz telah lama mengenali Dr Abdul Hadi melalui ayahnya. Beliau memperkenalkan diri dan menyatakan hasrat untuk berguru dengan Syeikh Hafiz Tijani. Namun begitu satu syarat diminta oleh beliau," kami ingin belajar ilmu Hadith sahaja, bukan Tasawuf". Syeikh Hafiz tersenyum dan bersetuju untuk mengajar kitab Muwatta karangan Imam Malik. Kelas diadakan setiap hari Khamis malam Jumaat dan dihadiri beberepa orang pelajar.

Beliau dan Dr Abdul Hadi semakin seronok berguru dengan Syeikh Hafiz Tijani dari semasa ke semasa. Kelas yang selalunya sejam meningkat selama tiga jam. Pada suatu hari, beliau bertanya kepada Syeikh Hafiz Tijani,"apakah adab seorang yang belajar ilmu hadith?". Beliau mengagak bahawa jawapan yang keluar dari mulut syeikh adalah seperti memakai pakaian putih atau duduk dengan elok atau selainnya. Namun begitu jawapan yang diberikan sangat menyentuh hati beliau. Syeikh mengatakan bahawa adab seorang yang ingin belajar ilmu hadith yang paling utama adalah ikhlas. Sejak itu mereka mula bertanyakan hal-hal berkenaan tasawuf dan lama kelamaan pengaruh fahaman Wahabi semakin hilang dari diri mereka.

Hajat yang Tidak Kesampaian

Beliau teruskan mengahfal al-Quran seperti biasa dan berjaya menghafal sehingga Surah Yunus. Namun begitu beliau tidak mengetahui ilmu tentang hukum-hukum tajwid al-Quran. Oleh itu beliau meminta Dr Abdul Hadi untuk mengajarkannya di samping mengulang bacaan.

Semasa beliau sedang menduduki peperiksaan tahun akhir, beliau terfikir untuk memasuki tarikat Tijani. Lalu beliau pun berazam untuk berbaiah(perjanjian) dengan Syeikh Hafiz Tijani sejurus sahaja tamat peperiksaan. Namun begitu malang tidak berbau, Syeikh Hafiz Tijani di serang penyakit kencing manis dan koma. Syeikh dirawat di Hospital Demardesh(berdekatan Universiti Ain Shams) dan manghembuskan nafas terakhir di situ. Peristiwa itu amat menyedihkan hati beliau dan merencatkan rancangan beliau untuk memasuki tarikat Tijani. Beliau berkata pada diri sendiri,"Aku hanya akan masuk tarikat ini melalui Syeikh Hafiz, maka aku takkan memasuki tarikat ini selama-selamanya".

Bersambung, Insyaallah...

0 comments:

Post a Comment