memandangkan cae yang sedang kerinduan, ana nak bkongsi satu
kisah...
Bismillah
Dulu, ada sekumpulan budak-budak lelaki. Mereka menetap di
sebuah kampung bernama Kampung Mush Arif. Mereka berperangai seperti budak yang
biasa, bergaul seperti budak yang biasa, makan macam budak yang biasa. Nak
cakap memang hidupnya biasa-biasa sahaja.
Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba suatu hari penghulu
kampung mengadakan satu pertandingan bola sepak dan semua budak di kampung itu
wajib sertai. Hadiah yang ditawarkan agak lumayan iaitu pakej haji dan umrah
sekeluarga setiap ahli pasukan.
Berita ini mengejutkan semua budak-budak di kampung itu
termasuk sekumpulan budak-budak tadi. Maka riuhlah Kampung Mush Arif. Pelbagai
persediaan dilakukan bagi menyambut hari pertandingan itu. Tetapi tidak bagi
sekumpulan budak-budak tadi. Ada di antara mereka yang suka bola sepak tetapi
ramai diantara mereka yang berkaki bangku. Ikat tali kasut sukan pun tak
pandai.
Lalu mereka pun berbincang sesama mereka. Yang suka bermain
bola sepak agak bersemangat untuk menyertai pertandingan tersebut. Namun begitu
yang berkaki perabot sangat berat hati untuk menyertai.
Setelah melalui perbincangan yang agak payah. mereka pun
bersetuju untuk menyertai pertandingan tersebut kerana ianya wajib dan untuk meraikan
ahli kumpulan yang berminat. Namun dengan syarat, mereka bukan bermain untuk
menang. Mereka menamakan pasukan mereka Nuwa’atta.
Pada hari pertama pertandingan, mereka digandingkan dengan
satu pasukan yang agak mantap digelar Rigelah. Permainan paasukan Nuwa’atta
agak pincang. Mereka asyik diasak oleh pihak musuh. Pertahanan mereka selalu
dibolosi. Tidak sampai separuh masa pertama, sudah ada yang pengsan kepenatan.
Pada separuh masa kedua mereka terpaksa meminta datuk penghulu menggantikan
tempat ahli kumpulan mereka.
Mujurlah dengan penjaga gol yang agak cekap dan nasib yang
menyebelahi mereka, keputusan hari itu seri. Mereka yang pengsan dibawa ke
bilik sakit. Ada yang mengambil masa tiga hari untuk betul-betul sembuh.
Esoknya kumpulan Nuwa’at akan menentang kumpulan Hutub.
Kumpulan Hutub memang sangat terkenal dengan kepakaran bermain bola sepak.
Kebanyakan dari ahli kumpulan Hutub merupakan anak pemain bola yang terkenal
seperti Wan Ahmad Messi, Muhammad Ronaldo dan Torres al-Selanjuri.
Pasukan Nuwa’atta semakin gentar. Ada dalam kalangan mereka
yang hilang semangat. Malah ada yang ingin menarik diri. Keadaan menjadi
tegang. Namun begitu perlawanan esok bukan mudah untuk dibatalkan. Pasukan yang
ingin menarik diri haruslah mengumumkan dua hari awal. Lalu mereka memujuk
sesama sendiri. Kali ini mereka membina strategi untuk meningkatkan pertahanan
di pintu gol.
Esoknya, perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan itu
saling bersalaman. Jelas kelihatan pasukan Hutub menandingi pasukan Nuwa’at
dari segi fizikal mahupun keyakinan.
Wisel ditiupkan. Pasukan Nuwa’at diasak
dengan ganas oleh pasukan Hutub. Namun apabila sampai ke pintu gol, bola
berjaya dilantunkan semula kearah pihak lawan. Nampaknya strategi pasukan Nuwa’atta
berkesan!
Sebenarnya strateginya adalah setiap ahli pasukan hendaklah mempunyai
pasangan. Setiap kali pihak lawan membawa bola, salah seorang dari pasangan
akan mendepani lawan tersebut. Manakala
seorang lagi berjaga di belakangnya. Tugas orang di hadapan adalah mendapatkan
bola. Namun jika tidak berjaya dia mampu melarikan fokus pihak lawan tersebut.
Apabila pihak lawan sudah hilang fokus, maka seorang lagi
terus masuk merampas bola. Ada pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘Pertahanan yang
terbaik merupakan serangan yang terbaik’. Pada mulanya strategi ini digunakan
hanya untuk bertahan, namun semakin lama mereka semakin mara ke pintu gol pihak
lawan. Lalu bola dirembat ke gawang gol pihak lawan. Penonton yang terdiri dari
penduduk kampung terdiam melihat pemandangan yang mendebarkan itu.
Penjaga gol berjaya menepis bola tersebut. Pihak lawan
menghembus nafas lega. Namun kedengaran sorakan yang amat kuat dari penonton di
luar padang. Pemandangan pasukan Hutub yang digelar pasukan legenda itu diasak
merupakan suasana yang amat luarbiasa. Nampaknya pasukan Nuwa’atta telah
berjaya meraih kepercayaan dari penonton. Paluan kompang bingit memenuhi
kawasan lapang itu. Bendera pasukan Nuwa’atta dikibarkan.
Sekumpulan budak-budak biasa yang menggelar diri mereka Nuwa’atta
tersenyum melihat penonton yang bersorak. Ada yang berasa terharu sehingga
mengalirkan air mata. Kemudian mereka memandang sesama sendiri. Kelihatan api
semangat yang selama ini malap kini menyala dengan terang dalam mata-mata
mereka. Mereka mengangguk sesama sendiri dan beralih ke pihak lawan dengan
semangat yang baru. Semangat Nuwa’atta. Semangat At-Ta’awun.
Perlawanan itu diteruskan. Pihak lawan membawa bola. Lantas
dirampas pasukan Nuwa’atta. Dirembat ke pintu gol. Penonton terdiam sambil
menahan nafas. Bola ditepis. Penonton kembali bersorak dengan kuat. Perlawanan
diteruskan lagi sehingga wisel penamat ditiupkan.
Keputusan hari itu diakhiri dengan satu berbalas kosong. Pasukan
Hutub mendahului pasukan Nuwa’atta dengan satu skor. Penduduk kampung bersurai
dengan senyuman yang puas. Perlawanan itu akan menjadi buah mulut penduduk
kampung selama setahun.
Bagi pasukan Nuwa’atta, perlawanan itu akan terus terpahat
dalam memori mereka. Kekalahan itu tidak menyedihkan mereka langsung kerana
mereka telah mendapat sesuatu yang lebih besar. Itulah semangat At-Ta’awun.
Semangat yang menjadi asas kepada persaudaraan dalam Islam. Semangat yang disemai
oleh Nabi Allah Muhammad dalam sanubari kaum Muhajirin dan Ansar. Semangat yang
membina negara islam pertama Madinah al-Munawwarah. Semangat inilah yang akan
mereka semai dalam diri mereka dan generasi akan datang, InsyaAllah.
Alhamdulillah